Hari Malaysia
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk
memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun
1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan
Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1
Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia
disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu
berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia
memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama.
Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan
Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari
keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan
Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti
am di semua negeri di Malaysia.
Mencari Nilai Hari Malaysia
TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46
tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya
serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri
Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang
di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka,
Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia
ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan
penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di
bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan
perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei
yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan
penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei
oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.
Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian
penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan
Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat
Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan
bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah
ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan
Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia
dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan
Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya
Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan
zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika
sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama?
Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?
Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada
kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya
dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja
yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki
jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer.
Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di
atas.
Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui
jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis
kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya,
ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada
mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini
merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta
sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat
patriotik pada diri mereka.
Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya
melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di
sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung
dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk
interpretasi dalam kehidupan realiti.
Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh
terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui
interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di
sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan
gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.
Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri
generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa
penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan
menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang
praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan
terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.
Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh
sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan
kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui
pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam
penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat
sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar,
Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan
televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.
NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan
peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di
peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di
peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan
filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk
memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang
mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.
Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun
sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan
Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti
umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari
Malaysia dilaksanakan.
Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih
merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara
keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan
penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan
Malaysia.
Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan
tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri
penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan
yang selayaknya untuk Hari Malaysia.
Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah
Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu.
Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting
dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari
ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai
sebenar Malaysia.
PENULIS ialah Yang Dipertua,
Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian
Penubuhan Malaysia 16 September 1963 Membawa Perubahan Kepada Negara
TARIKH 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya
dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri
Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak di samping jumlah
penduduknya yang menjangkau 10 juta orang.
Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan
oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
sebenarnya telah disuarakan pada bulan Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya
dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, beliau telah mencadangkan agar
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan
dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia.Kata Tunku
dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara
bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan
Sarawak.”
Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai
pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut
menjadi topik perbincangan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak
yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam
negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut
akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.
Lanjutan dari cadangan penubuhan gagasan Malaysia ini, Tunku
Abdul Rahman telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama
Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah
ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan
semua pihak.Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan
diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.
Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk
menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan
gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah
satu gagasan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk
di Sabah dan Sarawak sendiri.
Menurut Penyata Tahunan Perhimpunan Agung UMNO 1963/64, pada
23 Ogos 1961, persetujuan telah dicapai di antara kerajaan Singapura dan Tanah
Melayu yang meletakkan Kerajaan Pusat mempunyai kuasa autonomi dalam lapangan
pelajaran dan buruh sahaja dengan persetujuan sebuah jawatankuasa antara
Kerajaan Singapura dan Tanah Melayu.
Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan
sebuah negara baru Malaysia terhalang apabila berlaku pemberontakan yang
dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962. Ini diikuti dengan
pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno
sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia.
Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah
dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Solo
yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878.
Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing
hingga memecahbelahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara.
Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno juga
telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan
darah dan memaksa kepada campur tangan tentera. Penubuhan Malaysia menerima
tentangan keras dari Indonesia di bawah Presiden slogan “Ganyang Malaysia”.
Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara Tentera Darat dengan
angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau,
Sabah.
Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah
mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Begitu
juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu
Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran
yang hebat antara tentera kedua-dua negara. Bagi menyelesaikan masalah berikut
dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan
kemuncak telah diadakan antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam
pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.
Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia ini dapat
dilaksanakan dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk
ketenteraan dari negara lain. Dalam persidangan kemuncak di Manila yang
berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara
negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan
diumumkan selepas Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu berpuas hati dengan
kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak
turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai
negerinya.
Walaupun pembentukan Malaysia telah mendapat persetujuan
PBB, tetapi Indonesia seakan berusaha untuk menggagalkan rancangan tersebut
malah sengaja melewatkan ketibaan wakilnya sebagai pemerhati kerja-kerja
rombongan PBB ke Sabah dan Sarawak. Akhirnya PBB telah bersetuju mengeluarkan
laporannya mengakui 80 peratus dari rakyat Sabah dan Sarawak menyokong
penubuhan Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul
Rahman.
Tentangan dari Indonesia tidak habis di situ sahaja
sebaliknya melancarkan kembali konfrontasinya dengan menarik kembali Duta
Besarnya di Malaysia serta mengugut nyawa rakyat Malaysia yang ada di
Indonesia. Filipina turut bertindak keras apabila cuba menurunkan taraf
kedutaannya di Malaysia menjadi konsul sahaja. Akibat tindakan tersebut, maka
Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tegas dengan memutuskan hubungan
diplomatic dengan Indonesia dan Filipina dua hari selepas kelahiran negara
Malaysia dilancarkan.
Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966.
Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963
dan diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.
Pengisytiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka di
hadapan DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau
Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak dengan disaksikan kira-kira 30,000
rakyat Malaysia. Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan
dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik
dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga
telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang di kecapi
sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus di kecapi
oleh generasi akan datang.
Penubuhan Malaysia 16 September 1963
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman
Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri
Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah
menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam
satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.
Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan
untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat
kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada
perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh
golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi
jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses
kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu
dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald
Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan
lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk
Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu
terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.
Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis
Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan
dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah.
Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan
perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di
Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di
Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura
pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk
mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan
mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.
Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut
mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan
yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah
Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang
dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat
dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai
agama Islam diterima sebagai agama rasmi.
Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah
bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini
dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan
Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah
untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan
Sarawak tentang gagasan Malaysia.
Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan
dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya
terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai
wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir
David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku
Setiausaha.
Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah
menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak
yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan
Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis
bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang
memberikan pandangan.
Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus
penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan
rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah
disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan
itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung
beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.
Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada
Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji,
kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat
oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah
Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.
Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji
laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota
yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin
(Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan
Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).
Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan
Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British
untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung
selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani
di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.
Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah
ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu,
Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan
Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang
dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha
Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia
akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia
telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara
gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja
Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini
juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta
jemputan khas.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat
Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya
melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh
rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri
Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.
Rentetan Peristiwa
27 Mei 1961
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan
Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah
menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu
bentuk kerjasama politik
23 Julai 1961
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu
dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding
Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.
Ogos 1961
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
diadakan di Sabah
18-20 Disember 1961
Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
diadakan di Kuching Sarawak
6-7 Januari 1962
Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur
17 Januari 1962
Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan
penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai
oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali
Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak
sebagai Setiausaha
3-4 Februari 1962
Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia
21 Jun 1962
Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan
kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
Julai 1962
Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah
Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British
untuk mengadakan rundingan.
9 Julai 1963
Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat
Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan
Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan
British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
16 September 1963
Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka
Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana
Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia
Mengiktiraf Tanggal 16 September Sebagai Hari Malaysia
SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan
melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah
bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.
Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari
Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun
2010.
Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih
sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada
mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak
menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang
dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh
rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam
berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu
Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai
kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat
mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat
1Malaysia.
Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun
hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi
aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi
semangat 1Malaysia. Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka
diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai
entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis.
Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui
penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.
Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya
lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah
berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.
Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah
dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang
bermakna dan berkesan. Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari
bersejarah
bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak
kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui
pembentukan Malaysia.
Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat
merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia
akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat
yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan
di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti
mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari
Malaysia mulai 2010.
sumber : Utusan Malaysia
Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia
16 September Ini
KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari
Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 Sept, kata Ketua Menteri Datuk
Seri Musa Aman. Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada pelancaran
bulan kemerdekaan dan kempen mengibar Jalur Gemilang di perkarangan ibu pejabat
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk
Seri Panglima Yahya Hussin.Pada 19 Oktober tahun lepas Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi
menyambut Hari Malaysia. Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan ini Musa
meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk
menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk
perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat, katanya.Beliau turut melahirkan
rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur gemilang
walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan. –
sumber : BERNAMA
Empat Tokoh Terima Anugerah Tokoh Malaysia
Seramai empat tokoh akan menerima Anugerah Tokoh Malaysia
pada sambutan Hari Malaysia 16 September ini, kata Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Rais berkata, dua tokoh
akan dipilih dari Semenanjung dan masing-masing satu dari Sabah dan Sarawak
oleh jawatankuasa berkenaan. Tambah beliau lagi, mereka sedang cari tokoh-tokoh
dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menerima anugerah Tokoh Malaysia pada
hari tersebut.
Rais berkata, anugerah ini adalah sesuatu yang boleh
dianggap sebagai pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan dan rekod perjuangan
seseorang berkaitan dengan negara ini. Katanya, keempat-empat tokoh ini akan
menerima anugerah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas
beliau menyampaikan ucapan pada sambutan yang akan berlangsung di Kota
Kinabalu, Sabah.
sumber : Bernama
Hari Malaysia
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk
memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun
1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan
Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1
Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia
disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu
berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia
memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama.
Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan
Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari
keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan
Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti
am di semua negeri di Malaysia.
sumber : Wikipedia
Pada hari ini (16 September) empat puluh enam tahun yang
lalu, Malaysia mengalu-alukan keanggotaan negeri Sabah dan Sarawak dan mula
mengatur langkah untuk menjadi salah sebuah negara terpenting di dunia. Beliau
ketika itu baru berusia 10 tahun ketika ayahanda nya, Tun Abdul Razak Hussein,
menjadi saksi kepada perisytiharan bersejarah kemerdekaan Sabah pada 1963,
tetapi saya ingat bagaimana bangganya beliau saat peristiwa penting itu
berlangsung. Sabah dan Sarawak memenuhi satu sudut yang istimewa di hati saya
kerana peristiwa bersejarah itu.
Komitmen Dato' Sri terhadap 1Malaysia – kepada gagasan
bahawa perbezaan pada bangsa dan agama itulah yang menjadikan negara kita lain
daripada yang lain – telah diilhamkan daripada apa yang saya lihat di Sabah dan
Sarawak. Kelainan rakyat kita ini telah menjadi asas kepada banyak dasar awam
yang hebat-hebat yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran saya, kesemuanya
dengan matlamat memanfaatkan kekuatan rakyat kita daripada kumpulan etnik dan
anutan kepercayaan yang berbeza untuk membentuk satu asas daya saing global dan
identiti budaya.
Sumbangan Sabah dan Sarawak kepada Malaysia melebihi
tauladan dalam perpaduan dan permuafakatan. Malaysia menjadi syurga dunia
pelancongan disebabkan oleh kepelbagaian ini dan keajaiban alam semula jadi
yang dipersembahkan kepada dunia oleh dua negeri ini. Banyak warisan budaya
negara kita terikat kepada ikon kehidupan di Sabah dan Sarawak. Rumah-rumah
panjang kekal menjadi tulang belakang kehidupan di dua negeri ini kerana ia
ialah simbol kepada keperluan kita sebagai rakyat Malaysia untuk mempelajari
bagaimana untuk hidup di bawah satu bumbung dan untuk membina tempat tinggal
negara kita secara bersama-sama.
Apabila matahari terbit di langit Malaysia, ia menyinari
Sabah dan Sarawak terlebih dahulu. Masa hadapan kita sebagai sebuah negara
bergantung kepada keupayaan kita untuk bekerja dan hidup bersama-sama. Sabah
dan Sarawak menunjukkan kepada kita jalan yang perlu kita lalui untuk menuju
pembangunan sivil dan saya percaya kita harus membalas budi dengan melabur
dengan lebih banyak lagi dalam pembangunan ekonomi di dua buah negeri ini.
Apabila tiba masanya Sabah dan Sarawak mengumumkan ulang tahun ke-47 mereka
pada tahun hadapan, saya harap kita dapat mengotakan janji-janji kita untuk
memberikan pelaburan ekonomi, pendidikan dan prasarana yang lebih banyak di
kedua-dua buah negeri ini.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kenyataan
peribadi saya tentang Hari Malaysia.
16 September Diisytihar Cuti Umum
Hari Malaysia
Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia
yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam
untuk seluruh negara mulai tahun depan. Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan
perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai
sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat
penting.
Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk
memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah
menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata demikian ketika menjawab soalan
Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan
rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan
berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal
Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan
perdana menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan
bagi jawapan lisan pagi ini.
Perdana menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak
sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan
pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.
Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga
merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah
dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.
Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, perdana
menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus di pertingkatkan
selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan
air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan
dengan menambah lebih banyak peruntukan.
Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai
hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad
lepas. Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identiti yang boleh
dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib
berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur
lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan
negara.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
(PAS-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan
dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya. Abdul Hadi bertanya sama ada dengan
penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu
termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.
sumber : BERNAMA